Wednesday, December 9, 2009

Tersepit

Keliru.

Iman teruji di kala kita tersepit antara 'personal interest' dengan tuntutan syarak.

Mana yang menjadi keutamaan kita?

Adakah kemanisan yang sementara itu yang mahu kita capai?

Atau adakah kebahagiaan abadi yang kita impikan?

Jika ya, jangan hanya dilafazkan di bibir tetapi buktikanlah melalui tindakan dan perbuatan.

Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepadaku jalan keluar. Taufik dan hidayahNya jugalah yang ku pinta moga hidupku tetap berada di jalanNya yang lurus.

Saturday, November 28, 2009

Hari-hari Yang Mendatang

"Ya Allah, sesungguhnya ujian yang Engkau berikan adalah tarbiyah buat hamba Mu yang lemah ini. Engkau telah memperlihatkan kepadaku erti pengorbanan yang sebenarnya. Ya Allah, sesungguhnya kasih sayangMu yang aku cari. CintaMu yang ingin ku raih."

Selamat Hari Raya Aidil Aidha diucapkan buat semua yang mengenali diri ini. Mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama-sama kita, walau di mana jua kita berada.

p/s: Tidak lupa juga buat rakan taulan serta sahabat handai yang bakal melangsungkan perkahwinan, didoakan agar segala urusan dipermudahkan serta diberkati. Jika ada diizinkanNya, dapatlah saya hadir ke majlis kalian. Insya allah dipermudahkan.


Mukhlis Iman: Bilalah makcik saya ni pula yang kahwin? Siapalah pula bakal pakcik saya?

Sunday, November 22, 2009

Menahan Marah

Allah Ta'ala berfirman, dalam surah Ali Imran ayat 133 - 134, maksudnya:

"Dan bersegeralah untuk mencari pengampunan dari Tuhanmu dan memperoleh syurga yang luasnya adalah seperti langit dan bumi disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yang menafkahkan (hartanya) dalam keadaan lapang (banyak rezeki) dan kesukaran (kurang rezeki) dan juga orang-orang yang dapat menahan marahnya dan pula yang gemar memberikan maaf kepada para manusia. Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat baik."

Tersentap tatkala terbaca potongan ayat ini, di waktu perasaan marah sedang menguasai diri.



Bukannya apa, perkara kecil malah ada antara hal yang dimarahkan itu,tidak patut untuk dimarahkan pun.

Sebenarnya, marah tersebut ditujukan kepada diri sendiri.
Marah pada diri sendiri yang lemah dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Marah pada diri sendiri yang leka dengan permainan duniawi.
Marah pada diri sendiri yang liat untuk beribadat.
Marah pada diri sendiri yang tidak mampu untuk melakukan mujahadah.
Marah pada diri sendiri yang mudah tewas pada hasutan syaitan.

Kadang-kadang perasaan marah tersebut datang dari kalangan rakan-rakan dan orang yang terdekat. Lebih teruk lagi, perasaan marah turut dilemparkan terhadap ibu dan ayah yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan anaknya. Walaupun pada kebiasaan, kelihatannya seolah-olah mereka mengongkong dan tidak memberi peluang langsung kepada sang anak untuk membuat keputusan.

Rakan-rakan juga ada yang cuba memberikan nasihat, tetapi keadaannya seolah-olah mencurahkan minyak ke atas api yang sedang menyala. Masakan tidak marak api tersebut.

Rasa nak marah. MARAH DAN MARAH LAGI.

Mujurlah kasih sayang dan rahmatNya meliputi diri ini; ditunjukkan ayat ini agar diri ini sentiasa beringat dan tidak berputus asa dalam usaha untuk menahan marah.

Monday, November 9, 2009

Life Goes On

What's the secrets of success in life?

Believe it or not, the answers is in the bedroom!

The fan said : "keep it cool"

The roof said
: "aim high"

The window said
: "see the world"

The clock said
: "every minute is precious"

The mirror said
: "reflect before you act"

The calendar said
: "be updated"

The light said
: "shine as bright as you can"

The wall said
: "stand firm"

The door said
: "push as hard as you can for your goals"



Life goes on. No matter how hard life would be, see it as an opportunity!
Don't ever give up on life.

Wednesday, November 4, 2009

Matahari Terbit Kembali

"Dengan (Al Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus."
(Surah Al Maidah:16)

Saturday, October 31, 2009

Kembali kepada Fitrah Sebenar




"Apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya yang sementara; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?" (Surah Al Qasas: 60)

Kadang kala kita lupa, kadang kala kita alpa. Selalu juga terleka, lalu tanpa sedar (kadang-kadang sedar, bukannya tak sedar) akhirnya tersasar. Yang haram tulah yang kita dekati, itulah yang kita nak. Yang baik lagi halal pula diketepikan, ditinggalkan.

Ingatan untuk diri sendiri: Hidup ini bukan sekadar di dunia. Akhirat yang abadi menanti kita.

Walau di mana kita berada, apa jua "title" yang kita ada; tidak kiralah "title" sebagai seorang anak (lelaki ke, perempuan ke, sulung ke, bongsu ke, angah ke), sebagai seorang pelajar (sekolah rendah ke, menengah mahupun pelajar peringkat sarjana), sebagai kakitangan di sebuah syarikat terkemuka mahupun tidak (pengurus ke, jurutera ke, kerani ke), sebagai suami atau isteri, hinggalah kepada "title" sebagai seorang penyewa sebuah bilik (tak bilik, rumah atau kondo), kita mesti ingat siapa kita. Ingatlah kembali tentang fitrah kita yang sebenar.

Apa fitrah kita yang sebenar?

Kalau ditanyakan pada 10 orang, tak pastilah sama ada akan ada 10 jawapan yang berbeza ataupun ada jawapan yang sama antara 10 orang terbabit. Itu kena tengok juga siapakah 10 orang tersebut, bukan?

Satu sahaja jawapan yang saya ada. Nak tahu apakah ia?

Segala urusan dikembalikan kepada Allah, mudah-mudahan jawapan saya ini benar dan saya tidak menyampaikan perkara yang salah.

Jawapan dari saya untuk soalan "Apa fitrah kita yang sebenar?" ialah, kita semua adalah hamba. Tidak lain dan tidak bukan, kita adalah hamba Allah.

Andai kita terlupa, andai kita alpa, andai kita terleka, andai kita tersasar, cepat-cepatlah kembali kepada fitrah sebenar.

"Wahai Tuhan, jika tidak kerana Engkau tidaklah kami dapat hidayah, dan tidak pula kami dapat bersedekah dan bersolat, maka turunkanlah ke atas kami ketenangan dan tetapkanlah kaki-kaki kami, jika kami bertemu musuh. Sesungguhnya para musuh telah pun melanggar kami, jika mereka hendak menjerumuskan kami ke dalam fitnah, kami tetap dengan pendirian kami."
(Riwayat Al-Bukhari no.2836 dan 2837, Muslim no.1803)

Saturday, October 17, 2009

Mari Amalkan Doa Ini

"Ya Allah, perbaikkanlah hati-hati kami dalam kebaikan, dan perelokkanlah hubungan antara kami, dan tunjukkan kami jalan-jalan ke syurgaMu, dan selamatkanlah kami daripada kegelapan kepada Nur Mu, dan jauhilah kami daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan fitnah sama ada yang zahir atau tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran kami, penglihatan kami, pasangan-pasangan kami dan zuriat-zuriat kami. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat, dan jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmat Mu, memujiMu dengannya, menerimanya. Sempurnakanlah ia ke atas kami".
(Lihat Subulus salam no.300, Faidhul Qadir no.1482, al-Tabrani no.1430)

Alhamdulillah, tidak sia-sia membeli buku "Doa dan Zikir Harian" tulisan Ust. Zahazan Mohamed. Yakinilah bahawa segala amalan bergantung terhadap niat. Semasa saya memegang buku ini sebelum saya mengambil keputusan untuk membelinya, saya niatkan di dalam hati untuk mengamalkan doa-doa yang terkandung di dalam buku tersebut. Saya khuatir andai buku yang terbeli dibiarkan terpinggir tanpa diamalkan mahupun dimanfaatkan sebaiknya.

Moga Allah memperkenankan doa kita.

Amin!

Saturday, October 10, 2009

Antara Sabar dan Mengeluh

Dalamku membelek buku-buku lama yang berada dalam simpanan rumahku, ku jumpai satu buku yang sudah lama tidak ku buka. Aku masih ingat di kala umurku masih muda, masih di bangku sekolah rendah, aku pernah membaca buku itu.

Kisah-kisah Benar Penglipur Lara, nukilan Fatimah Hj. Omar yang memuatkan 60 kisah pendek yang menyentuh pelbagai kisah, sejarah dan cerita yang boleh dijadikan teladan dan iktibar.

Salah satu kisah yang terdapat di dalam buku itu bertajuk "Antara Sabar dan Mengeluh". Begini kisahnya:

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hasan yang pergi haji ke Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar wajahnya, sehingga dia berkata: "Demi Allah, aku belum pernah melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain itu pasti kerana tidak pernah merasa risau dan bersedih hati".

Wanita itu mendengar ucapan Abul Hasan, lalu dia bertanya: "Apa katamu hai orang lelaki? Demi Allah, aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita, dan luka hati kerana risau, dan tidak ada seorang pun yang membantu aku dalam hal ini".

Abul Hasan bertanya," Bagaimana halmu yang merisaukan itu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari, ketika suamiku menyembelih kambing korban, dan pada waktu itu aku mempunyai 2 orang anak yang sudah boleh bermain-main dan yang masih menyusu. Ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata kepada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?". Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu."

Lalu adiknya ditelentangkan dan disembelihnya. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah bercucuran dan lari ke bukit, di mana di sana ia telah dimakan oleh serigala.

Lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu hingga mati kehausan.

Dan kini aku tinggal sebatang kara."

Abul Hasan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi musibah yang hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir maka hal itu baik dan terpuji hasilnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat apa-apa yakni sia-sia belaka."

Benar, tiada yang dapat membezakan antara keduanya itu melainkan kita sendiri yang perlu mencari perbezaannya.

Benar, tidak sama orang mengetahui dengan orang yang tidakmengetahui.

Benar, tidak sama orang yang celik dengan orang yang buta.

Benar, tidak sama orang yang mendengar dengan orang yang tuli.

Tidak dinafikan, diri ini lebih banyak mengeluh dari bersabar. Kadangkala tanpa sedar, keluhan yang ku luahkan..."sigh"...walaupun untuk perkara yang kecil.

Tak jumpa pen, mengeluh. Bebel-bebel "Manalah perginya pen ni". Marah-marah, tak sabar. Kalaulah kita cari perlahan-lahan, dalam keadaan tenang, insya allah jumpa pen tu. Dan ya, memang jumpa semula pun pen tu

Kena marah dengan supervisor, mengeluh. "Apasal pulak kita yang dimarahnya, bukan salah kita pun. Ada ke patut dilepaskan kemarahannya pada kita". Jadi sedih, tak sabar. Down.
Patutnya kita releks, kalau betul bukan salah kita, kita terus terang. Bawa berbincang. Kalau bukan masa tu, carilah waktu lain yang sesuai. Dan ya, bila kita tak makan dalam insya allah everything will be okay.

Macam-macam hal lah, kadang-kadang kita tak sedar sebenarnya kita sedang mengeluh, sebenarnya kita bukan dalam keadaan bersabar.

Mari didik diri kita dengan sifat sabar.

Mari didik diri kita untuk bersabar.

Doakanku sentiasa tabah dan sabar dalam menempuhi apa jua dugaan yang menimpa.

Amin...

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah". (Al Baqarah: 214)

Friday, September 11, 2009

Cogito Allah Sum




Biarpun masih baru membacanya separuh jalan, suka utk saya kongsikan di sini bagaimana buku ini memberi makna kpd saya. Sejajar dgn apa yg dijelaskan oleh Syed Naquib Al Attas, ilmu bermaksud ketibaan makna ke dalam diri.


Sebelum itu, sy ini mengucapkan terima kasih yg tidak terhingga kpd adikku yg tersayang Aini dan Athirah atas pemberian buku tersebut. Maaf kerana mengambil masa yg agak lama utk membacanya. Alhamdulillah waktu ini ada kesempatan utk akak menyelak buku ini.




Saya tak berhajat utk menulis sinopsisnya di sini. Insya allah ia boleh dibaca di ruangan blog http://e-leeyana.blogspot.com/2009/01/cogito-allah-sum.html

Secara ringkasnya, buku ini menceritakan senario yg berlaku di kalangan muda mudi, tidak kiralah walau di zaman apa yg mereka sedang lalui. Bahkan, buku ini ditulis oleh penulis muda, semuda 22 tahun!

Saya tidak berniat utk memberi komen tentang perkara teknikal, tidak kiralah dari segi susunan kata mahupun cara penyampaian, tetapi apa yg ingin saya kongsikan ialah berkenaan apa di sebalik kisah cinta Rayyan-Ain-Aini yg diselitkan di dalam buku ini.

Pada awalnya, saya seakan tidak dapat menerima apa yg penulis tuliskan. Timbul rasa seperti tertipu. Yerlah, di kulit hadapan ada ditulis "Novel Inspirasi bagi pencari Tuhan" tetapi di dalamnya duk tulis pasal cinta tiga segi. Geli geliman jadinya. Alhamdulillah, sekarang saya sudah dapat "tangkap" apa yg penulis cuba sampaikan menerusi kisah terbabit. Bagaimana saya boleh menangkapnya? Apakah gerangannya tangkapan terbabit? Mari saya jelaskan.

Saya dapat memahaminya apabila saya kaitkan dgn apa yg terjadi kepada seorang teman saya. Dia punyai perspektif yg sangat negatif terhadap agama, walaupun sebenarnya dia dahulu belajar di sekolah agama. Pendek kata, dia punyai asas agama dan didedahkan tentang agama Islam sejak kecil lagi.

Di usianya (teman saya itu seorang lelaki juga) sekarang yg melebihi 30an, masalah rumahtangga yg dia alami telah membuatkan hidupnya tunggang langgang, malah telah membuatnya hanyut seperti sekarang. Dia merasakan masalah yg dia alami dalam hidupnya adalah masalah yg paling berat dan tidak ada sesiapapun yg mempunyai masalah seberat dia.

Kaitannya dgn watak Rayyan ialah, bilamana pengalaman buruknya serta kekecewaan yg dia alami dalam usahanya meraih cinta seorang wanita membuatkan dia lebih hanyut dalam kemaksiatan dan kemungkaran.

Ia telah membuatkan saya terfikir, selaku wanita, betapa besarnya kuasa yg terdapat dalam diri seorang wanita itu dalam membinasakan hidup seorang lelaki, dan begitu juga sebaliknya. Wanita turut punyai kuasa dalam memperelokkan hidup seorang lelaki. Impak wanita terhadap lelaki amat besar, bak kata pepatah yg sering kita dengar, "Di sebalik kejayaan seorang lelaki itu pasti ada seorang wanita di belakangnya". Saya tidak berhajat utk menghuraikan maksud pepatah itu, terpulang pada pemahaman masing-masing tetapi, itulah kaitannya kisah cinta yg dipaparkan itu dgn apa yg berlaku pada watak utama cerita terbabit.

Apabila saya membaca berkenaan apa yg difikirkan oleh Rayyan, terutama yg berkaitan dgn Ain ataupun Aini, saya jadi gerun. Rasa takut dan bimbang timbul, khuatir jika saya pernah membuatkan mana-mana lelaki (tidak kiralah sama ada yg saya kenali ataupun tidak) mengalami hal sama yg terjadi pada Rayyan.

Jika ingin tahu apakah yg saya maksudkan itu, jangan lepaskan peluang utk membaca buku Cogito Allah Sum ini ya.


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, jangan sampai aku sesat atau disesatkan (syaitan atau orang yg berwatak syaitan), berbuat kesalahan atau dianggap salah, menganiaya atau dianiaya (oleh orang lain), dan bodoh atau diperbodohkan."
(Riwayat Abu Daud no.5094, al-Tarmizi no.3427, al-Nasa'i, Ibn Majah, Al-Tirmizi mengatakannya hasan sahih)

Wednesday, August 19, 2009


Tuesday, August 11, 2009

Thank You Allah

Alhamdulillah, setelah lebih 5 tahun berhempas pulas mengharungi kehidupan sebagai seorang siswazah, kini (secara tepatnya 9 Ogos 2009) dengan rasminya saya telah bergelar graduan.

Dengan penerimaan skrol dari pro-cancellor di hari graduasiku, tiada lain yang mampu saya katakan melainkan "Thank You Allah". Syukur selayaknya hanya pada Allah, atas segala nikmatNya -nikmat ibubapa, adik beradik, rakan seperjuangan, makan minum, dan paling utama nikmat ilmu serta rezeki untuk menimbanya.



Saya, mak dan ayah memakai baju sedondon berona biru. Kami memang sepakat. Sungguh segak ayahku, siap bersamping. Tidak kurang juga ibuku yang berbaju sulam, cantik sekali. Kakakku yang baru melangsungkan perkahwinan Jun lalu turut hadir bersama-sama adik-beradik yang lain, membawa sekali hadiah yang sedang saya pegang di dalam gambar ini.
Terdapat juga hadiah dari rakan-rakan baikku termasuk Nazia, Pijot dan Intan. Terima kasih semua.



Anak buahku yang paling kecil, Iman turut hadir. Didoakan agar Iman turut berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dari mak Et.



Saya berkesempatan utk mengabadikan kenangan bersama-sama dengan rakan baikku Nurul, beserta ibunya. Gambar ini sangat unik. Semua kelihatan sangat gembira dan tersenyum manis. Tidak kurang juga anak buahku yang sedang menguap, sungguh mencuit hati.



Kepada kak Zurin dan Ruby, terima kasih atas pemberian cupcakes yang sangat comel itu. Nasib baik kakak saya sempat snap gambar kita bersama. Sudah lama kita tidak bertemu, akhirnya berjumpa pada hari konvokasi tersebut. Saya juga turut dapat bertemu dengan rakan-rakan lain yang sudah lama terpisah, baru kini berpeluang berjumpa semula.



Inilah kakakku yang telah banyak membantu, berkorban apa sahaja untuk hari konvokasiku. Hanya Allah yang mampu membalasnya.



Akhir kalam, tidak lupa juga buat Multimedia University yang telah banyak mengajarku tentang hidup. Semoga segala kebaikan yang dilakukan sepanjang berada di sana tidak hanya sewaktu saya di sana, malah sumbangan masih kekal diberikan biarpun sudah bergelar alumni.

Terima kasih buat semua, maaf jika ada yang tidak dinyatakan di sini kerana tidak semua dapat dimuatkan di dalam catatan ini. Saya menghargai anda semua dan didoakan agar semuanya berjaya bahgia dunia akhirat.

Thank you Allah!

Friday, July 31, 2009

Tak Tercapai Akalku

Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar Lagi Maha mengetahui dari gangguan syaitan yang terkutuk.

"Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." (Surah Al Fatihah: 5 - 7)

Setiap kali ditimpa konflik, kadang kala tak tercapai akalku dalam mencari penyelesaiannya.

Tersepit, keliru, rasa tidak berdaya dan macam-macam lagi perkara-perkara negatif yang timbul sedangkan, perkara positiflah yang sepatutnya digali dan dicari.

Sungguh, kali ini memang tak tercapai akalku.

Akhir sekali, apa yang dilakukan sekarang ialah: Biarkanlah ataupun fikir lain kalilah.

Thursday, July 23, 2009

Sumolah

Ada sesiapa yang tidak pernah menonton filem ini?

Seingat saya, saya pernah menontonnya tapi tidaklah dari awal. Walaupun begitu, saya rasa saya tidak membuang masa kerana filem ini merupakan antara filem "high profile" dan mesejnya sangat mendalam.

Saya pernah terbaca berkenaan kekecewaan Afdlin Shauki, selaku pengarah dan merangkap pelakon utama di dalam filem ini, atas sambutan hambar dari rakyat Malaysia terhadap filem Sumolah ini.

Memang tidak diragui langsung berkenaan perkara itu. Dari saya sendiri pun, saya tak terfikir langsung utk menontonnya.Hanya setelah hampir 2 tahun filem ini ditayangkan, barulah saya menontonnya dan saya mendapati filem ini sebenarnya "brilliant".

Adakah disebabkan oleh masalah publisiti?

Atau..

Adakah masalah content filem yg tidak dapat menarik penonton utk pergi menontonnya?

Barisan pelakon di dalam filem ini mantap-mantap belaka, malah filem ini juga turut dibintangi oleh pelakon popular lagi berbakat dari Singapura yg lebih dikenali sebagai Phua Chu Kang. Walaupun di dalam filem ini beliau tidak memegang watak yg karakternya sama seperti PCK itu, tetapi saya tabik dgn kebolehan beliau melakonkan watak antogonis yg begitu berkesan.

Entahlah, nak salahkan orang lain...1 jari dituding ke sana, 4 jari lagi tertuding ke diri sendiri.

Saya masih merasakan industri perfileman di negara kita punyai peluang utk menjadi salah satu saluran pendidikan rakyat dan menjadi medium paling berkesan bagi dakwah secara khususnya.

Tetapi apa yg dikesali ialah, keuntungan yg menjadi tunjang utama yg perlu diraih. Jadi, pihak-pihak tertentu menghalalkan apa jua cara demi matlamat terbabit. Keluarlah filem-filem yang melalaikan dan kadang-kadang, tiada langsung nilai baik dari segi agama, moral mahupun kehidupan. Bukan semua filem kita begitu, tetapi kebanyakannya begitu.

Tiba-tiba saya rasa macam nak ceburkan diri ke bidang ni. Saya rasa saya perlu lakukan sesuatu, tetapi apakah "sesuatu" itu agaknya?

Tuesday, July 14, 2009

Syukur

Alhamdulillah, segala puji hanya selayaknya bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.

Hari ini 14 Julai, genap 10 hari selepas hari kelahiranku. Tahun ini sedikit berlainan dari tahun-tahun yang sebelumnya. Hari lahirku kali ini dipenuhi dengan hikmah dan sangat bermakna.

Terima kasih buat semua yang turut sama mengingati hari lahirku serta memberikan doa yang amat diperlukan dan amat dihargai.

Terima kasih atas kasih sayang dan ingatan kalian terhadap diri ini. Sesungguhnya kasih sayang itu milik Allah dan hanya syukur yang selayaknya dipanjatkan kepadaNya atas segala kurniaanNya iaitu rakan taulan dan saudara yang ikhlas menyayangi diri ini.

Masih segar di ingatan akan kata-kata mak semasa menceritakan kisah kelahiranku. Sungguh tidak sabar aku untuk keluar melihat dunia hinggakan belum sempat lagi tiba di hospital, tanpa perlu menggunakan kudrat yang banyak, aku mengelungsur keluar semasa di dalam ambulans.

Bak kata orang dulu-dulu, "Mudah melahirkan, belum tentu mudah untuk menjaganya. Susah melahirkan, belum tentu susah untuk menjaganya". Nya yang dimaksudkan di sini ialah bayi.


Tidak dinafikan, bukan mudah ibubapaku menjagaku semasa kecil. Sangat nakal. Pernah sekali aku nyaris digilis lori gara-gara merangkak keluar dari rumah menuju ke jalan raya di kala umurku belum pun mencecah 2 tahun. Aku yakin ada hikmah kenapa Allah masih memberi kesempatan buatku hidup hingga ke saat ini.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur". (An Nahl:78)


Semoga aku tidak akan lupa untuk bersyukur. Aku mahu menjadi hambaNya yang bersyukur.

Syukur bukan hanya dilafazkan dengan lidah, tetapi syukur yang sebenarnya adalah menggunakan segala nikmat yang Allah telah berikan dengan memenuhi tujuan nikmat itu diberikan. Sebagai contoh, kita diberikan telinga. Apa sebenarnya tujuan telinga diberikan? Tujuan utamanya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mendengar ayat-ayat suci Al Quran.

Lawan bagi syukur ialah kufur. Mahukah kita menjadi orang-orang yang kufur? Nauzubillah.

Mudah-mudahan kita masuk ke golongan orang-orang yang bersyukur.

Amin.

Tuesday, June 30, 2009

Pelayaran

Belayar, menongkah arus.

Pelayaran tetap diteruskan.

Tetapi...

Adakah aku bersendirian?



Tentu sekali tidak.

Kerana aku ada Allah bersamaku.

Aku juga ada mereka yang sentiasa bersamaku.

Terima kasih Allah.

Terima kasih semua.

Doakan aku sentiasa tabah dalam melayari kehidupan.

Bahagia, berjaya dunia akhirat.

Tuesday, June 23, 2009

Kasih Bapa

Siapakah bapa?

Pasti apabila seorang lelaki itu mempunyai seorang anak, dia berhak untuk mendapat gelaran bapa. Nama bapa itu sendiri jika dilihat dengan pandangan mata hati, terdapat "sesuatu" pada nama itu. Nama yang tidak diberi sewenang-wenangnya pada sesiapa melainkan mereka yang benar-benar berhak. Tanggungjawab dan peranan seorang bapa memang tidak dinafikan..berat.


Anak buah termuda, lahir bulan Mac yang lalu

Saya adalah seorang perempuan. Bapa pula, seperti yang saya tulis tadi, adalah seorang lelaki.

Sesungguhnya Allah telah menciptakan lelaki dan perempuan berbeza, bukan sahaja dari segi fizikal malahan mental dan psikologinya.

Saya akui, saya tidak rapat dengan ayah semasa kecil. Ia adalah senario biasa kan, rasanya bukan saya seorang sahaja yang begitu. Walaubagaimanapun, dari situ saya dapat buat pelbagai pemerhatian. Ayah saya memang dari kecil telah mengajar kami agar tidak terlalu bergantung kepadanya kerana dia tahu dia tidak mempunyai banyak masa untuk bersama anak-anak. Bagi mengelakkan berlaku perkara-perkara seperti anak demam bila ayah berjauhan, sejak dari kecil usaha agar anak itu lebih rapat dengan ibu dilakukan. Salah satu usahanya ialah kain batik emak yang digunakan sebagai kain buaian, bukan kain pelekat ayah.

Memang usaha itu berhasil; kami adik-beradik lebih rapat dengan emak berbanding ayah.

Memang terdapat pro dan kontranya jugalah.

Pronya ialah ayah tidak perlu risau soal anak rindukan ayah. Susah untuk menjaga anak yang tidak mahu berenggang dengan bapa.


Abang sulung saya bersama kedua-dua anaknya

Saya dapat melihatnya di kalangan adik beradik lelaki saya yang sudah berkahwin. Masya Allah, bila abang saya mahu pergi outstation, anaknya di rumah tidak berhenti menangis mahukan ayahnya. Sang isteri gundah gulana, tidak mampu mengawal sang anak yang bermati-matian tidak mahu tidur dan tidak mahu berhenti menaangis sedangkan hari sudah lewat malam. Di situlah bergunanya teknologi. Video conference ke atau panggilan telefon sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko masalah sebegitu.


Dr.Fazley dan anak

Kontranya pula, terdapat jurang antara ayah dan anak. Boleh jadi natijah buruk disebabkan jurang itu tidak akan ada penghujungnya andai sang ayah tidak bertindak merapatkan hubungan dengan sang anak yang begitu mengimpikan kasih sayang dari sang ayah yang tidak anak itu rasai sejak dari kecil.


Abang ipar saya bersama anak perempuannya

Pernah tak kita dengar "kasih bapa terhadap anak lebih mendalam berbanding kasih bapa terhadap emak kerana dengan emak, bapa boleh bercerai. Tetapi dengan anak, pertalian darah antara bapa dan anak tidak akan dapat dipisahkan sampai bila-bila selagi darah yang sama mengalir dalam tubuh masing-masing."

Benar bukan.

Mendalamnya luka seorang ayah andai dirinya tidak dipanggil ayah oleh anaknya lebih hebat berbanding luka seorang suami yang tidak dipanggil dirinya sebagai suami oleh sang isteri.

Saya menceritakan dari realiti. Lebih tepat lagi, realiti yang berlaku dalam keluarga saya sendiri.


Mak ayah saya sempat bersanding buat kali kedua Jun lalu

Kasih bapa...

Sangat unik andai diceritakan di sini tetapi apa yang sebenarnya ingin saya utarakan ialah kasih sayang ayah (ayah yang saya maksudkan di sini ialah ayah saya) tidak dizahirkan secara terang-terangan tetapi andai anaknya menyayangi ayahnya, tentu dia dapat melihat kasih sayang tersebut.

Saya teringat ayah saya ada menceritakan kepada saya bagaimana dia patuh pada ibunya tatkala ibunya menyuruhnya mengahwini wanita pilihan keluarga sedangkan pilihannya sendiri ditolak. Soal patuh pada ibu satu. Soal kedua ialah bagaimana usaha ayah saya untuk mendapatkan pandangan dari para alim ulamak berkenaan hal terbabit. Apa yang membuatkan ayah saya setuju dengan pilihan ibunya ialah bila mana seorang alim menyatakan ini padanya:

"Jika kamu mengahwini wanita yang bekerja, nescaya pasti kamu akan senang. Gaji dua orang bekerja tentu lebih dari cukup dalam penyediaan keperluan buat keluarga. Tetapi anak-anak kamu akan terbiar. Jika kamu mengahwini wanita surirumah, nescaya gajinya hanya dari kamu seorang. Insya allah cukup untuk menampung kamu sekeluarga tetapi tidaklah semewah mana. Tetapi anak-anak kamu terjaga dan terpelihara. Kalau kamu inginkan anak-anak yang soleh, maka wajarlah kamu memilih wanita surirumah"

Maaf jika ayatnya terdapat tokok tambah tetapi intipatinya lebih kurang seperti itu. Ayah saya memegang nasihat orang alim itu lalu bersetuju untuk mengahwini emak saya yang pada masa itu memang tidak bekerja dan menjadi surirumah menjaga kami tujuh beradik.

Busuk-busuk macam mana pun ayah kita, lihatlah pada kebaikan yang ada pada dirinya. Jangan jadikan kesalahan mereka di masa lampau sebagai alasan untuk kita menghukum mereka sekarang dengan tidak mengendahkah malah mengabaikan mereka tatkala mereka sudah tua dan mahukan perhatian kita.

Saya suka menonton satu iklan petronas ini, mengenai Aiman dan bapanya. Telah saya uploadkan di sini. Ianya begitu 'inspiring' dan mesejnya begitu menusuk kalbu.



Memang sewajarnyalah anak berbakti kepada ibu dan bapanya, sepertimana yang sering kita baca di dalam Al Quran:

Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. (Surah Al Israa’ 17: 23)

“Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya.” (Surah An Nisaa’: Ayat 36)

Ini merupakan satu peringatan buat diri saya dan mudah-mudahan diambil ingatan juga oleh pembaca semua.

Friday, May 29, 2009

Bicara Gambar

Satu saja cara bagaimana utk menggambarkan pengalaman menaiki Eyes On Malaysia:
Agaknya beginilah keadaannya kalau anak-anak kecil yang menaiki Eyes on Malaysia tu:

Tapi, dalam ramai-ramai tu ada juga yang jadi begini:
p/s: Post ini dipublish terlebih dahulu. Insya allah ada sambungannya di sini nanti.

Monday, May 25, 2009

Undangan Perkahwinan



Serumpun Kasih Seraut Sayang
Sekapur Sirih Kami Sembahkan
Dengan penuh kesyukuran dan takzim kehadrat
Allah s.w.t kami mempersilakan.....

Semua rakan yang mengenali saya dan kakak saya Salwan

bagi menyempurnakan tambatan janji, izin berwali, ijab bersaksi puteri kami yang dikasihi:

Salwan binti Sahar dan pasangannya.

Mengikat pertemuan dua kasih membina mahligai abadi pada hari Sabtu, 6 Jun 2009 bersamaan 12 Jamadilakhir 1430H

Di kediaman kami,

Parit Punggur Tengah, Parit Jawa, Muar, Johor.

"Inai di tangan nampak berseri,
tanda merai raja sehari,
doakan mempelai putera puteri kami,
semoga sejahtera kehidupannya nanti.."

P/S: Kepada sesiapa yang berkelapangan utk hadir, minta tolong inform saya dulu ya. Saya akan berikan peta bagaimana utk sampai ke rumah saya. Lagipula, saya perlu dapatkan dahulu bilangan hadirin yang dapat hadir. Mohon doakan agar dipermudahkan segala urusan kami dalam menganjurkan walimah ini. Wallahualam.

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Terima kasih Syamimi atas award yang diberikan.



5 fakta menarik tentang Syamimi:
1) Ahli Biro Dakwah dan Tarbiyah yg dedikasi.
2) Sahabat baik dengan Athirah sejak dari peringkat sekolah hinggalah ke pengajian tinggi.
3) Sangat menghargai parents and family.
4) Peminat buku Faisal Tehrani.
5) Suka layan cerita korea juga selain dari rancangan English (cth: Desperate Housewife)

10 fakta mengenai saya:
Dari 1 sampai 10, Segalanya milik Allah :)

Friday, May 15, 2009

Cry



Bila dihitung, tinggal beberapa hari saja lagi sebelum kaki ini melangkah keluar dari kampus pengajian, menuju ke satu tempat baru...memasuki fasa baru dalam hidupku.

Bersediakah aku untuk menghadapi kehidupan yang menantiku di luar sana?

Bersediakah aku untuk meninggalkan bumi MMU ini...meninggalkan semua yang aku sayangi...

Perpisahan

Suka untuk saya sampaikan apa yang ingin saya sampaikan melalui sebuah lagu.

Lagu ini ditujukan buat semua yang mengenali diri ini..tidak kira siapa pun anda.

Insyaallah biar jauh di mata, anda semua sentiasa dekat di hati...

You can count on me! I'll be there whenever you want a shoulder to cry on...

(Terasa nak terangkan sikit berkenaan lagu ni...tapi rasanya kalau sudah dengar dan baca subtitle yg ada di sini, insya allah semua bisa mengerti apa yg lagu ini cuba sampaikan...mudah-mudahan sampai...)



"Sungguh, orang-orang yang mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka)." [Maryam: 96]

Maafku pinta jika selama ini tiada khabar diterima...Maaf atas segala kata-kata dan janji-janji yang tidak terlaksana...Maaf atas kekasaran atau salah faham yang terjadi antara kita....

Terima kasih buat semua yang sentiasa bersamaku di waktu susah dan senang...menerima baik dan burukku seadanya...menunjukkan kepadaku di mana silapku...membantuku di waktu diperlukan dan juga di waktu yang tak dijangka...memahamiku dengan sewajarnya...Tuhan menjadi saksi segala kebaikan yang kalian berikan.

Semoga Allah sentiasa merahmatimu dan merahmati ukhuwah yang terjalin antara kita.

Kepadamu jua Allah tempatku bergantung dan Allah lah sebaik-baik penolong.

SALAM IMTIHAN!

Monday, May 11, 2009

Ayah Ibu, Kaulah Permata Hatiku

Sempena Hari Ibu dan Hari Bapa yang diisytiharkan jatuh pada bulan Mei dan Jun, suka untuk saya berkongsi dengan semua satu bahan yang telah saya kongsikan bersama rakan-rakan muslimat yang hadir semasa sesi Sister Gathering yang diadakan pada 6 Mac yang lalu.





Saya mengalami kesukaran untuk berkongsi bahan saya ini. Susah nak mencari converter yang dapat menukar slide presentation .ppt kepada .mpeg. Buat masa ini, E.M. PowerPoint Video Converter sahaja yang mampu menzahirkan bahan saya itu tadi dalam bentuk video walaupun tidak begitu lengkap.

Maaf kerana video ini banyak cacat celanya, terutamanya dari segi teknikal (grafik..transition..etc). Jika kalian sudi untuk menontonnya, dipersilakan.

Setelah itu, jika kalian semua berminat untuk melihat keseluruhan slide tersebut, bolehlah memuat turun fail powerpoint itu di sini atau di sini. Insya allah itu salinan original yang lengkap. Terdapat dua buah video di dalam slide tersebut, jadi proses untuk memuat turun fail ini agak mengambil masa. Andai kalian sanggup menunggu proses muat turun yang agak lama itu, diharapkan ianya berbaloi dan insya allah, memang berbaloi.

Semoga bermanfaat.

Friday, May 8, 2009

Kunci


Subhanallah, Allahuakbar...saya terpesona seketika tatkala melihat gambar ini. Gambar mangga yang terikat utuh bersama rantainya.

"Pasti ada kunci untuk membukanya, sepertimana kunci tersebut diperlukan untuk menguncinya," getus hatiku.

Begitu jugalah apa yang dihadapi oleh kita semua, hari demi hari. Setiap perkara yang terjadi, setiap ujian yang menimpa, setiap musibah yang dialami..ia merupakan kunci kepada sesuatu yang perlu dikunci mangganya ataupun yang perlu dibuka mangganya.

Suka untuk saya berkongsi dengan semua tentang tafsiran saya terhadap gambar tersebut. Maaflah jika ada antara tafsiran saya tersasar ataupun salah sama sekali. Ini adalah pandangan peribadi saya dan saya bertanggungjawab penuh terhadapnya. Tolonglah perbetulkan saya jika didapati ada kesilapan.

Pandangan saya tertakluk kepada dua kondisi iaitu:

1) Dalam kehidupan ini, jika kita ditimpa sesuatu ujian atau musibah, kita perlu yakin bahawa Allah tidak akan sesekali membebani hambaNya apatah lagi menzaliminya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..."(Al Baqarah:286)

Apabila Allah memberikan kita ujian, itu bermakna Allah menyayangi kita dan Dia mahu menaikkan martabat kita andai kita dapat menghadapi ujian tersebut dengan sabar. Selain itu, ujian merupakan balasan kita ketika di dunia atas kesalahan yang telah kita lakukan. Dalam erti kata lain, dosa kita dapat dikurangkan jika kita sabar menghadapi ujian tersebut.

Apa hubungan semua ini dengan kunci dan mangga?

Ya, ia ada kaitan. Kerana, mangga itu HATI. Mungkin selama ini hati kita dibelenggu oleh "rantai" yang menghalang kita dari menerima apa jua yang cuba masuk, termasuklah perkara kebaikan ataupun hidayah. Sewajarnya waktu ini kita gunakan kunci (ayat Al Quran, wuduk dsb) untuk membuka mangga itu dan leraikan rantai tersebut. Buka pintu hati kita, lihatlah semua yang ada di sekeliling kita dengan pandangan mata hati. Hati terbuka luas, menerima dan mengakui kelemahan diri yang sering alpa. Ujian yang datang itulah yang mengetuk semula pintu hati kita, minta dibuka agar hidayah mudah untuk masuk memenuhi segenap hati dengan keimanan, ketenangan dan kebaikan.

2) Mangga itu perlu tetap dikunci, kekal dirantai dalam situasi di mana kita mahu menjaga sesuatu agar ianya tetap terpelihara. Sebagaimana orang menjaga barang kemasnya ataupun harta karunnya di dalam peti. Dia akan merantai dan menggunakan mangga yang terbaik untuk memastikan agar tiada siapa yang mampu membuka peti tersebut dan mengambil segala yang berharga dari peti itu.

Begitulah juga keadaanya hati kita. Kita perlu memangganya dengan mangga yang terbaik. Menggunakan rantai yang terbaik, tebal dan sukar untuk diputuskan walau dengan pemotong apa sekalipun. Keadaannya sama seperti ketika pemilik motosikal memasang mangga yang terbaik untuk mengunci motornya bagi mengelakkan dari dicuri.

Rantai yang utuh umpama pergantungan kita kepada Allah. Tali yang menghubungkan kita dengan Pencipta. Kukuhkanlah pergantungan kita kepadaNya agar kita tidak gusar atau kecundang apabila hati bertarung sama ada mahu dibuka atau ditutup.

Hati perlu dibuka tatkala kebaikan yang kita akan terima.

Hati mesti ditutup jika bencana yang akan kita terima.

Jika ada yang menyatakan kebenaran kepada kita, walau pahit bagaimana sekalipun, hendaklah hati lapang menerimanya...dibuka pandangan mata hati agar dapat melihat kasih sayang Allah yang tidak mahu kita terus-terusan berada dalam kebatilan. Ketika itu, mangga dibuka dengan seluas-luasnya agar hati kita tidak terhalang dari menerima hidayah dariNya.

Jika ada yang mengajak kita kepada kemaksiatan, kemunafikan, kefasikan dan kerosakan, hendaklah kita jaga mangga itu agar ia terkunci rapi bersama-sama rantainya. Jagalah kunci mangga tersebut baik-baik. Jangan biarkan ia terlepas ke tangan musuh. Jangan juga kau benarkan musuh cuba untuk membuka mangga tersebut dengan kekasaran. Kuatkan pergantunganmu kepada Allah, pertingkatkanlah mujahadahmu! Carilah kebenaran dari TuhanMu. Kembalilah kepada Allah, Al-Quran dan As-Sunnah.

"Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi sebelum engkau (Muhammad), melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, setan pun memasukkan godaan-godaan ke dalam keinginannya itu. Tetapi Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh setan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Al Hajj: 52)

"Dia (Allah) ingin menjadikan godaan yang ditimbulkan setan itu sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang yang berhati keras. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu benar-benar dalam permusuhan yang jauh." (Al Hajj: 53)

"Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Qur'an itu benar dari Tuhanmu lalu mereka beriman dan hati mereka tunduk kepadaNya. Dan sungguh, Allah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." (Al Hajj: 54)

Setiap mangga ada kuncinya yang tersendiri bagi membolehkannya untuk dibuka dan ditutup.

Kunci tersebut perlu dicari...

Kunci tersebut perlu dijaga...

Kunci tersebut perlu dipelihara...

Sama-sama kita saling muhasabah.

Semoga dapat diambil manfaatnya.

Thursday, April 30, 2009

Kita Sesama Manusia Bersaudara!

Kesempatan menyertai Usrah Wida', program terakhir anjuran Institusi Usrah bagi sesi 0809 tidak dibiarkan begitu sahaja.

Mari bersama mencari redha Ilahi!


Dalam majlis yang sama, ada diwar-warkan berkenaan satu konvesyen yang diberi nama "Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis".

Sayang sekali, saya tidak berkelapangan pada 9 Mei ini....

Saya doakan agar konvensyen ini dapat diadakan dengan jayanya, dipermudahkan segala urusan dan apa yang lebih penting ialah dapat mencapai misi serta objektifnya untuk (diambil dari sini):

1. Memberikan kefahaman yang mendalam kepada masyarakat khususnya golongan belia terhadap agenda Zionis yang paling utama untuk menguasai dunia sudah berakhir.
2. Membangkitkan kesedaran tentang bahaya projek Zionis untuk menguasai dunia dan sejauh manakah kesan kewujudan mereka kepada dunia sejagat.
3. Membuat pendedahan kepada masyarakat terhadap propaganda Zionis di dalam mendirikan Israel Raya.
4. Memberikan persepsi yang sebenar kepada masyarakat terhadap status terkini agenda Zionis.
5. Memberikan kesedaran tentang langkah-langkah yang boleh dimainkan oleh masyarakat bagi menghadapi agenda Zionis.


Hati ini segera teringat kepada bait-bait lirik dalam lagu bertajuk Keamanan nyanyian Various Artist Nasyid negara yang terdiri dari Rabbani, Hijjaz Brothers dan Raihan.

Get this widget | Track details | eSnips Social DNA


Keamanan, Kedamaian, Keharmonian
D
an Kasih sayang
Harapan dalam kehidupan
Setiap insan


Hulurkan bantuan
Kepada yg memerlukan

Perhatian dan Pembelaan

Belah kasihan


Hentikan sengketa
Hilangkanlah penderitaan

Kita sesama ma
nusia
Bersaudara


Penderitaan...memang secara kasarnya dilihat itu satu penderitaan. Tetapi jika kita lihat dari pandangan mata hati, ini adalah satu cara bagaimana Allah mahu menaikkan martabat umat Islam iaitu peluang untuk mendapat SYAHID.

"Sesungguhnya Allah s.w.t telah membeli diri orang-orang Mu'min, jiwa-jiwa mereka dan harta kekayaan mereka dengan menyediakan bagi mereka Al Jannah (syurga). Mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh (musuh-musuh Allah) dan mereka dibunuh (oleh musuh-musuh Allah). (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (Surah Al-Taubah: 111)

Kita perlu bersatu. Kita perlu berpadu. Kita perlu elakkan persengketaan, terutamanya di kalangan kita umat Islam.

"Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman hingga kamu saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu!" (HR. Muslim)

Kita perlu eratkan persaudaraan kita. Walau bagaimanapun kita berbeza, akidah kita tetap sama dan mari sama-sama kita usahakan agar ikatan ukhuwah antara kita mekar harum mewangi dengan dibajai oleh iman dan taqwa.

"Bekerjalah kalian, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kalian itu dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan." (At-Taubah: 105)

Ya Allah, kepadaMu jua kuletakkan segala urusan. Tiada dayaku melainkan kekuatan dariMu.



Ayah, tanggal 30 April menyaksikan umurmu mencapai genap 60 tahun. Kudoakan agar Allah sentiasa merahmati dan memberkati hidupmu..hidup kita sekeluarga. Kumohon doamu agar anakmu ini menjadi anak solehah yang akan setia berbakti kepada ibubapanya, iaitu ibu dan dirimu, ayah...tidak kira di kala ibu dan ayah masih hidup ataupun setelah dijemput Ilahi.

Monday, April 27, 2009

A Night To Unite



Dalam post saya bertajuk "Basikal Tua", saya ada mengatakan yang saya teringatkan lagu Handlebars nyanyian Flobots di kala saya menonton sketsa lakonan yang dipaparkan semasa majlis IU Dinner.

Saya sempat merakamkan satu scene, di mana salah seorang pelakon utamanya menyanyikan sebuah lagu iaitu lagu Taubat Seorang Hamba oleh kumpulan Irsyadee feat. Hafiz Hamidun. Sememangnya barisan pelakon pada malam tersebut begitu berbakat. Diharapkan segala kelebihan yang ada tidak disalahgunakan. Gunakanlah ke arah kebaikan.


"dasyatnya suara dia" itu yang kedengaran di akhir video. harap maklum


Saya turut ingin menyelitkan sekali beberapa gambar yang sempat dirakamkan melalui lensa yang telah dibawa bersama malam itu.



Gambar ini menunjukkan sebilangan saudara seIslam di MMU sekalian yang sehingga kini setia menyokong IU. Teruskan menyokong IU dan bersama-samalah kita memartabatkan Islam di bumi tercinta ini.



Ini pula barisan penggerak program-program IU yang telah mendedikasikan diri mereka untuk menjalankan tanggungjawab yang tergalas di bahu sebaik mungkin. Insya allah, ganjaran pasti menanti buat kalian dari Yang Esa atas usaha ikhlas kalian.



Oh ya, ini ada satu lagi gambar yang memuatkan sebilangan hadirin lain yang datang pada malam itu.


Harapan saya agar ukhuwah yang terjalin tidak hanya terhenti di sini. Walau di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung. Walau apa jua badai yang melanda, jika ikatan ukhuwah itu bertunjangkan iman dan taqwa kerana Allah, tiada apa yang mampu memutuskannya.

"Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."
(Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)"

Sunday, April 26, 2009

Put Your Lights On

Kenal tak Santana? Ala, guitaris terkenal tu.

Bagaimana pula dengan Everlast?

Sebelum ini saya pernah mendengar lagu-lagu beliau, Santana dan Everlast. Antara lagu-lagunya adalah seperti Santana feat. Rob Thomas bertajuk "Smooth" manakala lagu popular nyanyian Everlast pula ialah "What its like." Masa tu, saya masih menuntut di sekolah menengah.

Sekarang, khususnya pertengahan tahun lepas (2008)....saya ingat lagi. Masa itu saya sedang sibuk dengan persediaan FYP dan peperiksaan akhir sem. Ya, di kala bulan April seperti sekarang ini.
Tengah saya mencari-cari bahan untuk laporan FYP saya, saya tergerak untuk mencari lagu-lagu dari Santana. Nak dengar bunyi petikan gitar dari beliau.

Dalam senarai lagu-lagu beliau di YouTube, antaranya ialah lagu gandingan beliau dengan Everlast yang bertajuk "Put your lights on". Pernah dengar sedikit lagu ini semasa menonton rancangan Las Vegas di 8tv. Tak terpikat lagi masa tu. Jadi, saya pun cubalah mendengar lagu tersebut. Kebiasaannya saya akan mencari lirik lagu bagi lagu-lagu yang saya nak dengar (sambil-sambil tu boleh nyanyi sekali). Jadi, sama jugalah semasa saya mahu mendengar lagu ini.

Saya begitu terkejut kerana di hujung lagu ini terdapat kalimah syahadah yang hanya dilafazkan oleh seorang Muslim. Tanggapan pertama saya ketika itu, "Adakah everlast mahu mengkotak-katikkan kalimah Lailahaillah ini dengan menggunakannya di dalam lirik lagu ini? Ini satu penghinaan". Saya benar-benar terkejut, saya dengar sendiri Everlast menyanyikan bait kalimah ini dalam lagunya. Wah, ini tidak boleh jadi. Saya pun teruskan mencari bukti.

Masya Allah, rupa-rupanya Everlast atau nama sebenarnya Eric Schrody (Irish-American rapper) telah memeluk Islam. Alhamdulillah, sungguh tidak saya sangka dan sebenarnya saya rasa kagum bagaimana seorang rapper boleh memeluk Islam. Selama ini, yang saya tahu Cat Steven (British musician) yang sekarang ini dikenali sebagai Yusuf Islam yang telah memeluk Islam.

Beruntunglah orang-orang yang menjadikan Islam sebagai agamanya sebagaimana sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam" (Hadis Riwayat Muslim)

Saya tidak tahu mengapa... tetapi alhamdulillah, Allah telah melintaskan ke dalam fikiran saya hari ini untuk mencari info berkenaan Everlast. Saya rasa terpanggil untuk mengetahui bagaimana dia boleh memeluk Islam. Tahun lepas, saya tidak terfikir pula. Syukur kepadaNya, saya menemui artikel sesi temuramah mengenai dia.

Apa yang menarik ialah, bila ditanyakan bagaimana dan melalui apa beliau boleh mengenali Islam, apa yang beliau jawab ialah:

I come from a Catholic family and had over 10 years contact with a Muslim family named Bashir.
What particularly impressed me was the fact that they never tried to convince me about Islam. They never attempted to convert me. The way this family lived together was simply exemplary. I already had faith in a creator, and with time the religion of this family began to interest me, and I began to ask questions, which were also answered. Only after that did I become conscious that Islam is a religion which also accepts and respects Jesus, but not as a God, rather as a Prophet made of flesh and blood. Likewise, I found Islam to be all-encompassing, uniting all religions and Prophets in itself. The words and the exemplary life of the Holy Prophet Muhammad are a direct way to God and the connection to the truth. "Islam is like gas into the car."

Masya Allah, benarlah seperti dinyatakan dalam al Quran:

"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu, barangsiapa yang engkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui." (Al Baqarah:256)

Hati...Hidayah... Ya Allah, kurniaan dariMu kupinta.

Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadith Qudsi) "Firman Allah Taala: Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri. Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba- Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..." (Hadis Riwayat Muslim)



Wednesday, April 22, 2009

Is it too late to apologize?

"Pernah tak aku buat silap"

"Di mana silapnya aku?"

"Bila masa aku buat silap?"

"Aku buat silap dengan siapa?"

"Apa silap yang aku dah buat?"



Wajar tak jika ditambah satu lagi soalan, iaitu:

"Kenapa saya buat silap?"

Sebenarnya tatkala saya menulis di ruangan ini, saya baru sahaja buat silap dengan seseorang...

Bermacam-macam perkara menerjah benak fikiran, bercampur baur:

Apa nak buat ni..nak minta maaf ke.
Betul ke saya ada buat salah dengan dia.
Apa yang saya dah buat salah pada dia...salah ke tu?
Habis tu dia takda buat salah pape la pada saya.

Lebih kurang begitulah apa yang berlegar-legar di kepala...nauzubillah, memang tidak dinafikan nafsu amarah ada datang menyergah dan sedikit sebanyak mempengaruhi diri.

"Ya Allah, berilah hambaMu ini petunjuk, hidayah dan kekuatan agar diri ini tidak menyimpang jauh dariMu lantas tidak termasuk dalam golongan orang yang mendapat murkaMu...."


.......... ..........





Alhamdulillah, saya telah menghulurkan kemaafan. Lantas perasaan bercampur baur yang dirasai tadi terus hilang, digantikan dengan ketenangan dan hati terasa senang.

Tewaslah syaitan dalam usahanya untuk memecahbelahkan manusia.

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Al-Syams: 7-10).

Syaitan telah menghiasi kemaksiatan dan kesesatan serta perangkapnya sehinggalah ia kelihatan baik dan indah di mata manusia dan membuatkan kita ragu-ragu untuk membezakan manakah yang benar-benar hak dan manakah yang batil. Hal ini ada dinyatakan dalam al Quran dalam surah Al-An'am, ayat 43:

"Maka mengapa mereka tidak memohon kepada Allah dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang mereka selalu kerjakan". (Al-An'am: 43)

Istighfar... bersihkanlah hati ini daripada sifat-sifat mazmumah.

Kesyukuran saya panjatkan kepada Allah kerana memelihara saya dan rakan saya. Hanya Allahlah sebaik-baik penolong. Tiada sesiapa yang dapat melindungi kita daripada serangan dan tipu daya syaitan melainkan Allah s.w.t.

"Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada Tuhan selain Dia, yang hidup dan selalu jaga; dan aku bertaubat padaMu."