Friday, May 8, 2009

Kunci


Subhanallah, Allahuakbar...saya terpesona seketika tatkala melihat gambar ini. Gambar mangga yang terikat utuh bersama rantainya.

"Pasti ada kunci untuk membukanya, sepertimana kunci tersebut diperlukan untuk menguncinya," getus hatiku.

Begitu jugalah apa yang dihadapi oleh kita semua, hari demi hari. Setiap perkara yang terjadi, setiap ujian yang menimpa, setiap musibah yang dialami..ia merupakan kunci kepada sesuatu yang perlu dikunci mangganya ataupun yang perlu dibuka mangganya.

Suka untuk saya berkongsi dengan semua tentang tafsiran saya terhadap gambar tersebut. Maaflah jika ada antara tafsiran saya tersasar ataupun salah sama sekali. Ini adalah pandangan peribadi saya dan saya bertanggungjawab penuh terhadapnya. Tolonglah perbetulkan saya jika didapati ada kesilapan.

Pandangan saya tertakluk kepada dua kondisi iaitu:

1) Dalam kehidupan ini, jika kita ditimpa sesuatu ujian atau musibah, kita perlu yakin bahawa Allah tidak akan sesekali membebani hambaNya apatah lagi menzaliminya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..."(Al Baqarah:286)

Apabila Allah memberikan kita ujian, itu bermakna Allah menyayangi kita dan Dia mahu menaikkan martabat kita andai kita dapat menghadapi ujian tersebut dengan sabar. Selain itu, ujian merupakan balasan kita ketika di dunia atas kesalahan yang telah kita lakukan. Dalam erti kata lain, dosa kita dapat dikurangkan jika kita sabar menghadapi ujian tersebut.

Apa hubungan semua ini dengan kunci dan mangga?

Ya, ia ada kaitan. Kerana, mangga itu HATI. Mungkin selama ini hati kita dibelenggu oleh "rantai" yang menghalang kita dari menerima apa jua yang cuba masuk, termasuklah perkara kebaikan ataupun hidayah. Sewajarnya waktu ini kita gunakan kunci (ayat Al Quran, wuduk dsb) untuk membuka mangga itu dan leraikan rantai tersebut. Buka pintu hati kita, lihatlah semua yang ada di sekeliling kita dengan pandangan mata hati. Hati terbuka luas, menerima dan mengakui kelemahan diri yang sering alpa. Ujian yang datang itulah yang mengetuk semula pintu hati kita, minta dibuka agar hidayah mudah untuk masuk memenuhi segenap hati dengan keimanan, ketenangan dan kebaikan.

2) Mangga itu perlu tetap dikunci, kekal dirantai dalam situasi di mana kita mahu menjaga sesuatu agar ianya tetap terpelihara. Sebagaimana orang menjaga barang kemasnya ataupun harta karunnya di dalam peti. Dia akan merantai dan menggunakan mangga yang terbaik untuk memastikan agar tiada siapa yang mampu membuka peti tersebut dan mengambil segala yang berharga dari peti itu.

Begitulah juga keadaanya hati kita. Kita perlu memangganya dengan mangga yang terbaik. Menggunakan rantai yang terbaik, tebal dan sukar untuk diputuskan walau dengan pemotong apa sekalipun. Keadaannya sama seperti ketika pemilik motosikal memasang mangga yang terbaik untuk mengunci motornya bagi mengelakkan dari dicuri.

Rantai yang utuh umpama pergantungan kita kepada Allah. Tali yang menghubungkan kita dengan Pencipta. Kukuhkanlah pergantungan kita kepadaNya agar kita tidak gusar atau kecundang apabila hati bertarung sama ada mahu dibuka atau ditutup.

Hati perlu dibuka tatkala kebaikan yang kita akan terima.

Hati mesti ditutup jika bencana yang akan kita terima.

Jika ada yang menyatakan kebenaran kepada kita, walau pahit bagaimana sekalipun, hendaklah hati lapang menerimanya...dibuka pandangan mata hati agar dapat melihat kasih sayang Allah yang tidak mahu kita terus-terusan berada dalam kebatilan. Ketika itu, mangga dibuka dengan seluas-luasnya agar hati kita tidak terhalang dari menerima hidayah dariNya.

Jika ada yang mengajak kita kepada kemaksiatan, kemunafikan, kefasikan dan kerosakan, hendaklah kita jaga mangga itu agar ia terkunci rapi bersama-sama rantainya. Jagalah kunci mangga tersebut baik-baik. Jangan biarkan ia terlepas ke tangan musuh. Jangan juga kau benarkan musuh cuba untuk membuka mangga tersebut dengan kekasaran. Kuatkan pergantunganmu kepada Allah, pertingkatkanlah mujahadahmu! Carilah kebenaran dari TuhanMu. Kembalilah kepada Allah, Al-Quran dan As-Sunnah.

"Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi sebelum engkau (Muhammad), melainkan apabila dia mempunyai sesuatu keinginan, setan pun memasukkan godaan-godaan ke dalam keinginannya itu. Tetapi Allah menghilangkan apa yang dimasukkan oleh setan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Al Hajj: 52)

"Dia (Allah) ingin menjadikan godaan yang ditimbulkan setan itu sebagai cobaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang yang berhati keras. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu benar-benar dalam permusuhan yang jauh." (Al Hajj: 53)

"Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Qur'an itu benar dari Tuhanmu lalu mereka beriman dan hati mereka tunduk kepadaNya. Dan sungguh, Allah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." (Al Hajj: 54)

Setiap mangga ada kuncinya yang tersendiri bagi membolehkannya untuk dibuka dan ditutup.

Kunci tersebut perlu dicari...

Kunci tersebut perlu dijaga...

Kunci tersebut perlu dipelihara...

Sama-sama kita saling muhasabah.

Semoga dapat diambil manfaatnya.

2 comments:

aini mardhiyah said...

gambar itu sgt subjektif :)

sgt tertarik dgn perkongsian akak.

rantaian bermangga itu juga sgt signifikan dengan muslimat.

Rantai dan mangga yg kuat dan kukuh, tidak boleh sewenang-wenangnya dapat dibuka tanpa padanan kunci yang tepat. Umpama muslimat yang terjaga maruah dan akhlaknya yang hanya boleh disunting oleh mereka yang diizinkan Allah sahaja.

perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.

moga bermanfaat~

>:D<

milik Allah said...

terima kasih atas perkongsian. ini boleh jadi tafsiran yg ketiga, tambahan dari dua tafsiran yg akak nyatakan dalam entry ini.

memang ada terfikir untuk sentuh juga perihal apa significantnya kunci ini dengan muslimat. last-last, akak jadikan entry ini di bawah label General. terima kasih pd aini mardhiyah kerana turut sudi berkongsi di sini. insya allah kalau berkesempatan, boleh buat entry khas berkenaan muslimat pula :)

aini mardhiyah nak jadikan topik itu sebagai entry di blog sendiri pun boleh. amatlah dialu-alukan.