Allah Ta'ala berfirman, dalam surah Ali Imran ayat 133 - 134, maksudnya:
"Dan bersegeralah untuk mencari pengampunan dari Tuhanmu dan memperoleh syurga yang luasnya adalah seperti langit dan bumi disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang yang menafkahkan (hartanya) dalam keadaan lapang (banyak rezeki) dan kesukaran (kurang rezeki) dan juga orang-orang yang dapat menahan marahnya dan pula yang gemar memberikan maaf kepada para manusia. Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat baik."Tersentap tatkala terbaca potongan ayat ini, di waktu perasaan marah sedang menguasai diri.
Bukannya apa, perkara kecil malah ada antara hal yang dimarahkan itu,tidak patut untuk dimarahkan pun.
Sebenarnya, marah tersebut ditujukan kepada diri sendiri.Marah pada diri sendiri yang lemah dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
Marah pada diri sendiri yang leka dengan permainan duniawi.
Marah pada diri sendiri yang liat untuk beribadat.
Marah pada diri sendiri yang tidak mampu untuk melakukan mujahadah.
Marah pada diri sendiri yang mudah tewas pada hasutan syaitan.
Kadang-kadang perasaan marah tersebut datang dari kalangan rakan-rakan dan orang yang terdekat. Lebih teruk lagi, perasaan marah turut dilemparkan terhadap ibu dan ayah yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan anaknya. Walaupun pada kebiasaan, kelihatannya seolah-olah mereka mengongkong dan tidak memberi peluang langsung kepada sang anak untuk membuat keputusan.
Rakan-rakan juga ada yang cuba memberikan nasihat, tetapi keadaannya seolah-olah mencurahkan minyak ke atas api yang sedang menyala. Masakan tidak marak api tersebut.
Rasa nak marah. MARAH DAN MARAH LAGI.
Mujurlah kasih sayang dan rahmatNya meliputi diri ini; ditunjukkan ayat ini agar diri ini
sentiasa beringat dan tidak berputus asa dalam usaha untuk menahan marah.