Tuesday, March 9, 2010

Rumah Besar



Adakah anda mengimpikan sebuah (atau lebih) rumah besar yang tersergam indah seperti sebuah istana?

Saya datang dari keluarga yang susah. Berasal dari kampung. Mak ayah bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi.

Saya masih ingat lagi ketika saya berumur 13 tahun. Setelah 6 tahun bersekolah di Melaka, kami sekeluarga berpindah ke Muar. Saya tidak ke sekolah hampir 2 bulan. Seolah-olah memahami akan kesukaran yang mak ayah hadapi, saya tak terfikir langsung untuk pergi ke sekolah walaupun keputusan UPSR saya cemerlang.

Waktu itu ada Hari Sukan di sekolah tempat kakak saya belajar. Ibu bapa dijemput hadir ke majlis tersebut. Jadi, saya pun mengikut mak pergi ke sana. Semasa mak beramah mesra bersama guru-guru yang berada di situ, salah seorang dari mereka bertanyakan tentang saya. Siapa nama saya, umur berapa, sekolah di mana. Setelah mengetahui keadaan sebenar, guru itu tanpa berlengah terus membawa saya berjumpa Pengetua.

Saya tidak ingat apakah perasaan saya sewaktu itu. Gembira ke, "blur" ke...saya pun tak ingat. Yang saya ingat, selepas sahaja dari itu saya pergi ke sekolah seperti biasa. Walaupun saya ketinggalan 2 bulan, alhamdulillah saya cemerlang. Ya, sewaktu saya berada di menengah rendah, saya cemerlang. Tidak seperti sewaktu saya di menengah atas mahupun di universiti.

Kegagalan saya untuk menganalisa faktor kemerosotan prestasi saya menjadi punca kegagalan saya untuk mengekalkan kecemerlangan saya. Saya tidak mahu ulangi kesilapan tersebut dalam menempuh perjalanan kerjaya saya.

Siapa yang tidak mahu kerja yang bagus dan stabil.

Sepanjang keberadaan saya di Shah Alam selama 4 hari ini banyak memberi erti kepada saya. Tarbiyah rabbaniyah...itulah yang sedang saya alami sekarang. Allah sedang mentarbiyah saya.

Saya berkesempatan untuk menghadiri sebuah majlis tahlil di salah sebuah rumah di Seksyen 9. Memang tidak dinafikan, suasana di Shah Alam tidak sama dengan suasana di tempat lain. Setiap tempat pasti ada suasananya tersendiri. Entah kenapa, saya sukakan suasana di sini. Selesai bacaan yassin dan solat isyak berjemaah di surau, kami dijemput untuk ke sana. Sampai saja di lokasi yang dimaksudkan, masya Allah. Sungguh cantik dan besarnya rumah itu.



Setiap kali saya melihat rumah sebegitu, tak terlintas di hati saya untuk memilikinya. Jika Allah kurniakan saya rezeki untuk mendapat rumah seperti itu, saya terima tetapi tidaklah rumah besar itu yang menjadi matlamat saya.

Saya lebih selesa hidup serba sederhana. Biarpun kalau-kalau rezeki saya lebih, saya lebih rela sumbangkannya kepada yang lebih memerlukan. Bukankah amal jariah itu lebih kekal, lebih besar ganjarannya dan lebih baik manfaatnya buat saya dan orang lain.

Jika saya ingin rumah besar sekalipun, saya mahukan rumah yang besar lagi indah tatkala di syurga nanti insya Allah. Itu yang lebih utama kerana apalah sangat kehidupan dunia yang singkat ini.

Saya ada terbaca di sebuah buku, maaf saya lupa tajuknya. Insya allah saya akan periksa dan kemukakan rujukannya kelak. Ada dinyatakan di situ tentang khasiat Surah Al Ikhlas. Dengan hanya membacanya sebanyak 10 kali, Allah membinakan rumah buat kita di dalam syurga. Jika membacanya 21 kali, maka Allah membinakan rumah tingkat di dalam syurga.

Rumah oh rumah.

No comments: