Seharian berada di kilang, dengan beban kerja yang bertimbun dan masalah diri yang memburu. Kesempatan untuk berehat tidak disia-siakan. Tatkala butang alat kawalan TV ditekan, TV2 sedang menyajikan para penontonnya dengan sebuah filem yang tidak kurang hebatnya. The Negotiator, itu tajuknya. Saya pernah mendengar tajuk ini tetapi tidak pernah menontonnya.
Permulaan filem ini sudah cukup untuk membuatkan saya tertarik untuk menontonnya sehingga ke penghujung.
Antara perkara menarik yang saya boleh petik dari filem ini ialah berkenaan kebolehan watak utamanya, Danny Roman membuat perundingan. Bukan mudah untuk menjadi seorang perunding yang berkesan. Rundingan memang mudah tetapi apa yang penting ialah hasil dari rundingan terbabit. Setakat ini, reputasi Danny sangat bagus sehinggalah timbul satu kes di mana rakan baiknya, Nate mati dibunuh. Lebih merumitkan keadaan, Danny adalah suspek utama.
Dalam usahanya untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah, dia telah menawan seorang penguasa polis beserta setiausahanya dan juga seorang bekas banduan. Dia hanya mahukan seorang perunding terkenal, Chris Sabian untuk membantunya.
Banyak kejadian menarik yang berlaku dan saya amat menyukai keadaan di mana, kebijaksanaan membuat keputusan dan helah (strategi) menjadi batu loncatan untuknya (Danny) menyelesaikan masalah yang berlaku.
Tidak dinafikan, di dalam kehidupan seharian, kita tidak lari dari mengharungi keadaan yang tidak kita jangkakan. Sebagai contoh, di penghujung filem ini, satu kebenaran telah dapat dibongkar bahawa rakan baik Danny sendiri serta ketua penguasa polis di situ merupakan dalang yang mereka cari.
"Rambut sama hitam, hati lain-lain". Itu antara pepatah yang boleh saya kaitkan. Sudah tentu kita akan menemui keadaan seperti ini. Tidak kiralah dalam kehidupan kita sebagai seorang pelajar, seorang anak mahupun seorang pekerja, kita tidak dapat lari dari berhadapan dengan manusia seperti itu. Penuh muslihat dan agenda tersendiri.
Mudah-mudahan Allah mencampakkan Furqan kepada kita; kelebihan di mana kita akan dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Sesungguhnya hanya perlindungan dan bantuan dariNya jugalah yang diharapkan.
Kepada yang berkelapangan, bolehlah menonton filem arahan F.Gary Gray yang turut mengarahkan filem The Italian Job ini. The Italian Job juga adalah antara filem kesukaan saya.
Akhir kata, siapa kita menentukan cara kita melihat. Cara kita melihat menentukan apa yang kita dapat.
No comments:
Post a Comment