Sunday, May 9, 2010

Susuk?

Tanda-tanda orang yang memakai susuk ialah muka kelihatan sangat cantik, hinggakan apabila sekali terpandang pasti ingin memandangnya semula. Berhati-hati juga pada mereka yang berumur tetapi kekal kelihatan muda serta punyai kekuatan luar biasa (tenaganya seperti orang muda mudi).

Bukanlah mahu menuduh tetapi ada sesetengah dari kita yang tidak mengetahui bahawa dalam dirinya tertanam susuk. Mungkin oleh waris-warisnya seperti ayah yang memasukkan susuk tersebut sewaktu orang tersebut masih kecil.

Jika kita telah mengetahui bahawa di dalam diri kita tertanam susuk ataupun kita pernah memasangkan susuk, janganlah berlengah lagi untuk membuangnya. Banyak kesan sampingan buruk yang dialami oleh pemakai susuk. Antaranya ialah:

1) Sentiasa mengalami mimpi buruk atau ngeri. Ibnu Jauzi di dalam bukunya ada menyenaraikan beberapa contoh mimpi yang bersangkut paut dengan sihir dan gangguan makhluk halus. Contohnya ialah jika bermimpi dipatuk ular, berhati-hatilah. Itu menandakan sihir sudah meresap masuk ke dalam diri. Begitu juga jika bermimpikan budak kecil atau bayi. Lebih teruk lagi jika bayi tersebut datang menyusu. Itu tanda gangguan makhluk halus.

2) Memiliki jin atau khadam dalam tubuh secara langsung. Setiap susuk mempunyai khadamnya tersendiri yang sentiasa menghantui tuannya (si pemakai susuk). Itulah sebabnya kadang-kala orang yang memakai susuk ini terlihat ada lembaga yang mengekorinya.

3) Hidup terseksa kerana terpaksa melalui pantang-larang. Antara pantang-larangnya ialah tidak boleh makan satay (ada cucuk lidi) dan tidak boleh makan buah-buahan atau tumbuhan yang berbulu seperti kiwi dan bendi.

4) Jika pemakai susuk itu adalah seorang perempuan, dia akan mempunyai kesukaran untuk mendapat anak kerana terdapat jin yang berlegar di salur darahnya.

Itulah sedikit sebanyak intipati dari perbincangan Al Kuliyyah Jumaat lalu (7 Mei 2010) di TV3 yang memperkatakan tentang susuk. Panelnya ialah Ustaz Shah Jahan, seorang guru dan perawat. Beliau mempunyai klinik khasnya sendiri di Kuala Lumpur dan sesi pembuangan susuk menggunakan air zam-zam tanpa dikenakan sebarang bayaran. Jika terdapat sebarang pertanyaan atau mahukan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi beliau di talian 017-6955909.

Moga bermanfaat.

No comments: