Saturday, October 31, 2009

Kembali kepada Fitrah Sebenar




"Apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya yang sementara; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?" (Surah Al Qasas: 60)

Kadang kala kita lupa, kadang kala kita alpa. Selalu juga terleka, lalu tanpa sedar (kadang-kadang sedar, bukannya tak sedar) akhirnya tersasar. Yang haram tulah yang kita dekati, itulah yang kita nak. Yang baik lagi halal pula diketepikan, ditinggalkan.

Ingatan untuk diri sendiri: Hidup ini bukan sekadar di dunia. Akhirat yang abadi menanti kita.

Walau di mana kita berada, apa jua "title" yang kita ada; tidak kiralah "title" sebagai seorang anak (lelaki ke, perempuan ke, sulung ke, bongsu ke, angah ke), sebagai seorang pelajar (sekolah rendah ke, menengah mahupun pelajar peringkat sarjana), sebagai kakitangan di sebuah syarikat terkemuka mahupun tidak (pengurus ke, jurutera ke, kerani ke), sebagai suami atau isteri, hinggalah kepada "title" sebagai seorang penyewa sebuah bilik (tak bilik, rumah atau kondo), kita mesti ingat siapa kita. Ingatlah kembali tentang fitrah kita yang sebenar.

Apa fitrah kita yang sebenar?

Kalau ditanyakan pada 10 orang, tak pastilah sama ada akan ada 10 jawapan yang berbeza ataupun ada jawapan yang sama antara 10 orang terbabit. Itu kena tengok juga siapakah 10 orang tersebut, bukan?

Satu sahaja jawapan yang saya ada. Nak tahu apakah ia?

Segala urusan dikembalikan kepada Allah, mudah-mudahan jawapan saya ini benar dan saya tidak menyampaikan perkara yang salah.

Jawapan dari saya untuk soalan "Apa fitrah kita yang sebenar?" ialah, kita semua adalah hamba. Tidak lain dan tidak bukan, kita adalah hamba Allah.

Andai kita terlupa, andai kita alpa, andai kita terleka, andai kita tersasar, cepat-cepatlah kembali kepada fitrah sebenar.

"Wahai Tuhan, jika tidak kerana Engkau tidaklah kami dapat hidayah, dan tidak pula kami dapat bersedekah dan bersolat, maka turunkanlah ke atas kami ketenangan dan tetapkanlah kaki-kaki kami, jika kami bertemu musuh. Sesungguhnya para musuh telah pun melanggar kami, jika mereka hendak menjerumuskan kami ke dalam fitnah, kami tetap dengan pendirian kami."
(Riwayat Al-Bukhari no.2836 dan 2837, Muslim no.1803)

No comments: