Pasti apabila seorang lelaki itu mempunyai seorang anak, dia berhak untuk mendapat gelaran bapa. Nama bapa itu sendiri jika dilihat dengan pandangan mata hati, terdapat "sesuatu" pada nama itu. Nama yang tidak diberi sewenang-wenangnya pada sesiapa melainkan mereka yang benar-benar berhak. Tanggungjawab dan peranan seorang bapa memang tidak dinafikan..berat.
Anak buah termuda, lahir bulan Mac yang lalu
Saya adalah seorang perempuan. Bapa pula, seperti yang saya tulis tadi, adalah seorang lelaki.
Sesungguhnya Allah telah menciptakan lelaki dan perempuan berbeza, bukan sahaja dari segi fizikal malahan mental dan psikologinya.
Saya akui, saya tidak rapat dengan ayah semasa kecil. Ia adalah senario biasa kan, rasanya bukan saya seorang sahaja yang begitu. Walaubagaimanapun, dari situ saya dapat buat pelbagai pemerhatian. Ayah saya memang dari kecil telah mengajar kami agar tidak terlalu bergantung kepadanya kerana dia tahu dia tidak mempunyai banyak masa untuk bersama anak-anak. Bagi mengelakkan berlaku perkara-perkara seperti anak demam bila ayah berjauhan, sejak dari kecil usaha agar anak itu lebih rapat dengan ibu dilakukan. Salah satu usahanya ialah kain batik emak yang digunakan sebagai kain buaian, bukan kain pelekat ayah.
Memang usaha itu berhasil; kami adik-beradik lebih rapat dengan emak berbanding ayah.
Memang terdapat pro dan kontranya jugalah.
Pronya ialah ayah tidak perlu risau soal anak rindukan ayah. Susah untuk menjaga anak yang tidak mahu berenggang dengan bapa.
Saya dapat melihatnya di kalangan adik beradik lelaki saya yang sudah berkahwin. Masya Allah, bila abang saya mahu pergi outstation, anaknya di rumah tidak berhenti menangis mahukan ayahnya. Sang isteri gundah gulana, tidak mampu mengawal sang anak yang bermati-matian tidak mahu tidur dan tidak mahu berhenti menaangis sedangkan hari sudah lewat malam. Di situlah bergunanya teknologi. Video conference ke atau panggilan telefon sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko masalah sebegitu.
Dr.Fazley dan anak
Kontranya pula, terdapat jurang antara ayah dan anak. Boleh jadi natijah buruk disebabkan jurang itu tidak akan ada penghujungnya andai sang ayah tidak bertindak merapatkan hubungan dengan sang anak yang begitu mengimpikan kasih sayang dari sang ayah yang tidak anak itu rasai sejak dari kecil.
Abang ipar saya bersama anak perempuannya
Pernah tak kita dengar "kasih bapa terhadap anak lebih mendalam berbanding kasih bapa terhadap emak kerana dengan emak, bapa boleh bercerai. Tetapi dengan anak, pertalian darah antara bapa dan anak tidak akan dapat dipisahkan sampai bila-bila selagi darah yang sama mengalir dalam tubuh masing-masing."
Benar bukan.
Mendalamnya luka seorang ayah andai dirinya tidak dipanggil ayah oleh anaknya lebih hebat berbanding luka seorang suami yang tidak dipanggil dirinya sebagai suami oleh sang isteri.
Saya menceritakan dari realiti. Lebih tepat lagi, realiti yang berlaku dalam keluarga saya sendiri.
Mak ayah saya sempat bersanding buat kali kedua Jun lalu
Kasih bapa...
Sangat unik andai diceritakan di sini tetapi apa yang sebenarnya ingin saya utarakan ialah kasih sayang ayah (ayah yang saya maksudkan di sini ialah ayah saya) tidak dizahirkan secara terang-terangan tetapi andai anaknya menyayangi ayahnya, tentu dia dapat melihat kasih sayang tersebut.
Saya teringat ayah saya ada menceritakan kepada saya bagaimana dia patuh pada ibunya tatkala ibunya menyuruhnya mengahwini wanita pilihan keluarga sedangkan pilihannya sendiri ditolak. Soal patuh pada ibu satu. Soal kedua ialah bagaimana usaha ayah saya untuk mendapatkan pandangan dari para alim ulamak berkenaan hal terbabit. Apa yang membuatkan ayah saya setuju dengan pilihan ibunya ialah bila mana seorang alim menyatakan ini padanya:
"Jika kamu mengahwini wanita yang bekerja, nescaya pasti kamu akan senang. Gaji dua orang bekerja tentu lebih dari cukup dalam penyediaan keperluan buat keluarga. Tetapi anak-anak kamu akan terbiar. Jika kamu mengahwini wanita surirumah, nescaya gajinya hanya dari kamu seorang. Insya allah cukup untuk menampung kamu sekeluarga tetapi tidaklah semewah mana. Tetapi anak-anak kamu terjaga dan terpelihara. Kalau kamu inginkan anak-anak yang soleh, maka wajarlah kamu memilih wanita surirumah"
Maaf jika ayatnya terdapat tokok tambah tetapi intipatinya lebih kurang seperti itu. Ayah saya memegang nasihat orang alim itu lalu bersetuju untuk mengahwini emak saya yang pada masa itu memang tidak bekerja dan menjadi surirumah menjaga kami tujuh beradik.
Busuk-busuk macam mana pun ayah kita, lihatlah pada kebaikan yang ada pada dirinya. Jangan jadikan kesalahan mereka di masa lampau sebagai alasan untuk kita menghukum mereka sekarang dengan tidak mengendahkah malah mengabaikan mereka tatkala mereka sudah tua dan mahukan perhatian kita.
Saya suka menonton satu iklan petronas ini, mengenai Aiman dan bapanya. Telah saya uploadkan di sini. Ianya begitu 'inspiring' dan mesejnya begitu menusuk kalbu.
Memang sewajarnyalah anak berbakti kepada ibu dan bapanya, sepertimana yang sering kita baca di dalam Al Quran:
Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. (Surah Al Israa’ 17: 23)
“Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya.” (Surah An Nisaa’: Ayat 36)
Ini merupakan satu peringatan buat diri saya dan mudah-mudahan diambil ingatan juga oleh pembaca semua.
No comments:
Post a Comment